Nahas Helikopter Nuri

17 Julai, 2007 15:39 PM

Kesemua Enam Anggota TUDM Terkorban Dalam Nahas Helikopter Nuri

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) – Kesemua enam anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban dalam nahas helikopter Nuri apabila pasukan mencari dan menyelamat menemui bangkai pesawat itu berhampiran Genting Sempah dekat sini hari ini.

Pengawai Perhubungan Awam TUDM Mejar Zulkiflee Abdul Latiff berkata dalam satu kenyataan bangkai pesawat itu ditemui anggota pasukan melalui gerakan darat di sebuah lokasi 5km Barat Laut dari Genting Sempah pada pukul 1.24 petang.

Difahamkan kesemua mayat telah dikeluarkan daripada bangkai pesawat itu dan sedang diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Waris dan keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai berita buruk itu dan mereka kini sedang menunggu ketibaan jenazah di HKL.

Mereka yang terkorban juruterbang Kapt Nor Azlan Termuzi, pembantu juruterbang Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof, Sjn Khusnizam Ariffin (kuartermaster udara), Sjn Mohd Azmie Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad.

Bangkai pesawat itu ditemui pada hari kelima selepas ia dilaporkan hilang pada kira-kira pukul 9.35 pagi, 10 minit selepas ia meninggalkan Pangkalan Udara TUDM menuju ke Kuantan Jumaat lepas.

Gerakan mencari dan dan menyelamat, yang dilancarkan serta merta membabitkan lebih 1,000 anggota namun mereka menghadapi kesukaran untuk mengesan pesawat itu kerana berhadapan dengan masalah hutan tebal dan cerun curam di kawasan pergunungan itu.

Usaha mencari dan menyelamat dari udara yang dibantu sebuah helikopter Sea Hawk dari tentera Amerika Syarikat, juga sukar akibat cuaca berkabus tebal dan hujan lebat sejak nahas itu.

Helikopter Nuri yang membawa mayat mangsa mendarat di padang bolasepak HKL pada pukul 3.45 petang ini, di mana orang ramai termasuk beberapa orang waris menunggu dengan wajah sedih.

Kelihatan enam buah ambulans menunggu berhampiran helikopter Nuri berkenaan untuk membawa mayat bagi urusan bedah siasat.

Menurut seorang ahli pathologi HKL, berdasarkan kepada keadaan mayat kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia pada hari kejadian akibat impak apabila pesawat itu terhempas.

Sementara itu menurut jurucakap JPA3, pesawat malang itu ditemui dalam keadaan kipasnya tertanggal daripada badannya yang tidak terbakar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang juga Menteri Pertahanan dijadual mengadakan sidang media pukul 4.30 petang ini untuk memberi butiran mengenai kejadian itu.

– LAGI