Solat di atas kapal, kapal terbang, kereta api dan sebagainya.
Boleh solat di atas kapal laut, kapal terbang, kereta api dan seumpamanya. Tidak ada halangan untuk berbuat demikian berdasarkan hadis daripada Ibn Umar bermaksud: “Nabi Muhammad ditanya orang mengenai solat di atas kapal, maka Baginda bersabda: Solatlah dengan berdiri kecuali jika takut akan karam.’’
Hadis ini bermaksud jika boleh solatlah dengan berdiri, jika tidak boleh duduk, kalau terpaksa boleh dengan berbaring.
Mengikut riwayat Abdullah bin Abi Utbah, beliau pernah menyertai Jabir bin Abdullah, Abu Sa’id AI-Khudri dan Abi Hurairah dalam satu perjalanan di atas kapal, mereka semua solat berjemaah dengan berdiri di tepi kapal (perahu). Demikian diriwayatkan oleh Sa’id bin Mansur.
Ketika solat sunat di atas kenderaan, maka tidaklah menjadi masalah apabila kenderaan itu jalan berbelok-belok sehingga mempengaruhi arah kiblat. Dalam keadaan demikian, sesuailah dengan firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 115 yang bermaksud: “Dan Allah jugalah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana saja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah, sesungguhnya Allah amat luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa mengetahui.”
Solat dalam Kapal Terbang
Seperti yang kita maklum, di dalam kapal terbang sekiranya tidak dibenarkan menggunakan air untuk berwuduk, dan juga tidak dibenarkan menggunakan debu tanah untuk tayamum demi keselamatan dengan kenyataan bersurat daripada pihak pengurusan kapal terbang, namun kita tetap wajib mengerjakan solat fardu pada waktunya tanpa bersuci kerana menghormati waktu.
Cara mengerjakan solat dalam kapal terbang:
Sempurna rukun dan syarat sah solat seperti ada wuduk, menghadap kiblat, rukuk dan sujud seperti solat di atas bumi dan sebagainya. Sekiranya berkeadaan sedemikian maka diwajibkan mendirikan solat pada waktunya. Cara pelaksanaannya adalah dengan berdiri. Jika tidak berdaya maka dengan duduk di mana kadar tunduk rukuk kurang daripada kadar tunduk sujud.
Ada kekurangan dalam syarat sah seperti tiada wuduk atau tidak mampu mengadap kiblat dan sebagainya. Dalam keadaan itu, diwajibkan solat pada waktunya sebagai menghormati waktu. Cara pelaksanaannya ialah berdiri.
Jika tidak boleh, dengan duduk di mana kadar tunduk rukuk kurang daripada kadar tunduk sujud. Selepas sampai di destinasi, jika masih ada lagi waktu solat itu, maka hendaklah diulangi (i’adah) semua solat yang didirikan dalam keadaan menghormati waktu tadi dengan segera, dan jika waktunya sudah luput, hendaklah diqada solat itu dengan segera juga.
Menghadap Kiblat
Harus solat fardu atau sunat tidak mengadap kiblat kerana terlalu takut dalam peperangan. Hendaklah solat setakat mana yang boleh dan tidak wajib qada.
Bagi solat fardu di dalam kapal terbang, sekiranya boleh mengadap kiblat, maka wajib berbuat demikian, dan sekiranya dadanya berpaling daripada kiblat disebabkan perubahan arah kapal terbang, maka wajib kembali semula ke arah kiblat serta menyempurnakan solat itu, itu pun jika boleh berbuat demikian.
Sebaliknya, sekiranya tidak mampu mengadap kiblat, lakukanlah solat mengikut qadar kemampuan sebagai menghormati waktu, dan apabila turun dari kapal terbang, jika masih ada waktu lagi, hendaklah diulangi solat itu dengan segera, dan jika waktunya luput, maka hendaklah mengqadakan solat itu dengan segera.
Perlu diingatkan kepada wanita, pada hari Jumaat jemaah penuh sesak di Masjid al-Haram, memadai menunaikan solat Zuhur di hotel saja, kerana kewajipan solat Jumaat bagi lelaki saja. Bagaimanapun, jika wanita mendirikan solat Jumaat, dia tidak perlu solat Zuhur.

[IMG]